Saya ingat lagi satu ketika dahulu, saya pernah berborak dengan seorang sahabat, tentang betapa sukarnya kadang-kadang apabila berhadapan dengan orang, yang kita tahu, kita perlu lakukan sesuatu untuk membantu beliau. Walaupun individu terbabit tidak meminta untuk saya bantu beliau, tetapi bahasa tubuh, cara berkomunikasi, kehidupan individu itu menunjukkan kepada saya, bahawa, beliau memerlukan pertolongan dan mahukan pertolongan, walaupun ego menafikannya.
Maka saya pun brain storm bersama sahabat saya, mengapa ini terjadi, dan bagaimana ingin mengubah mentaliti beliau supaya memahami bahawa sesuatu hal itu terjadi dengan bersebab.
Untuk pengetahun para pembaca, lebih setahun saya cuba mendorong individu terbabit untuk cuba melihat kehidupan dari perspektif berbeza. Saya cuba meyakinkan beliau, bahawa sekuat mana cabaran, harapan tetap wujud, dan jika ada usaha, adalah balasan yang setimpal. Dan segalanya yang perlu telah saya katakan
Namun, masih tiada perubahan yang berlaku. Saya pasti jika saya suarakan hal ini kepada umum, akan ada kata-kata seumpama : lupakan saja dia tu, memang tak dapat di bantu dah tu. dia yang degil!
Saya rasa tak sedap hati. Mungkin merasakan itu bukanlah caranya. Lantas saya pun menghubungi seorang sahabat ini yang saya pasti boleh menyarankan sesuatu yang lebih rasional kepada saya. Saya ceritakan dari A hingga Z.
Mahu tahu apa saranan sahabat saya ini? Kata beliau, jangan lagi berusaha mengubah mentaliti kawan saya itu, tapi cuba pula memahami dan menerima beliau seadanya, barulah cara yang tepat itu akan muncul. Hurai sahabat saya lagi, cuba juga untuk tidak meletakkan acuan kepada kehidupan kawan saya ini, walaupun kita yakin acuan itu yang paling tepat beliau.
Jadi saya pun kembali berfikir akan kebenaran perkara ini. Lantas, saya bersyukur kerana mendapat satu lagi ilmu baru. Mahu tahu apakah ia?
Fahamilah, bahawa setiap manusia di dunia ini mempunyai hak untuk menjalani kehidupan menurut yang mereka mahukan. Dan saya, sebagai seorang manusia yang lain, berhak untuk menasihati mereka jika mereka melakukan kesilapan. Namun, sentiasa terima mereka seadanya mereka. Siapa pun kita, setinggi mana pun kita belajar, apa pun kita buat sehebat mana pun kita, kita masih tidak mungkin memahami orang kecuali jika kita berada di tempat nya.
Jadi, apa yang boleh anda lakukan? Menerima mereka seadanya terlebih dahulu. Memahami bahawa semua orang mahukan kesempurnaan, tiada yang sempurna, tetapi boleh menghampiri kesempurnaan. Kemudian, barulah mulakan dengan menyarankan saranan positif kepada mereka. Dari situ, dari mulai detik mereka merasakan, kita menerima mereka seadanya itu, barulah akan terbuka pintu-pintu di dalam hati mereka, untuk mendengar dengan mata hati. Dan mulai dari itu, barulah kita dapat rungkai masalah yang sebenar-benarnya.
Syukur ALhamdulillah ke hadrat ALLAH SWT, kini kawan saya itu menjalani kehidupan yang jauh berbeza dari yang saya sedia maklum sejak dahulu. Nyatalah, bahawa setiap insan itu mahu dan perlukan perhatian, dan menjadi tanggungjawab saya untuk memberikan perhatian, namun mungkin caranya berbeza bagi setiap individu.
Sekadar sebuah coretan meraikan perjuangan. Namun, perjuangan saya untuk bangsa tercinta, masih belum selesai. 